Saturday, May 10, 2008

Wau – Memelihara Tradisi, Mempertahankan Kesenian

Wau adalah sejenis permainan tradisi yang sangat sinonim dengan rakyat Kelantan pada satu masa dahulu untuk mengisi masa lapang. Ia merupakan satu permainan popular bagi rakyat jelata dan golongan istana. Tetapi kini ianya hanya menjadi permainan bagi rakyat yang duduk di kampung-kampung.

Wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Senarai ini merupakan di antara nama-nama menarik bagi wau dengan rekabentuk yang berbeza antara satu sama lain. Rekacorak pula selalunya bermotifkan awan larat dengan gabungan warna-warna terang dan gelap untuk mewujudkan satu corak yang menarik.

Di Kelantan sehingga kini masih lagi mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik. Selain untuk tujuan permainan ada sesetengah pembuat wau menjadikan penghasilan wau ini sebagai satu sumber mata pencarian mereka.

Untuk melihat dengan lebih dekat aktiviti membuat wau ini, pihak kami telah berkunjung ke kedai Shafie Jusoh seorang warga emas yang masih gigih mempertahankan perusahaan ini walaupun sudah 36 tahun beliau berkecimpung dalam bidang ini. Kedai beliau betul-betul terletak di hadapan Balai Polis Badang, merupakan satu kedai kayu yang kecil tetapi cukup selesa bagi beliau menempatkan alatan kerja beliau dan hasil-hasil wau yang telah siap.

Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.

Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.

Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau