Wednesday, May 21, 2008

Tambah masyarakat berilmu, kementerian sambut baik saranan Presiden PAS

Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Kementerian Pengajian Tinggi menyambut baik saranan Dato' Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) supaya kerajaan menambah bilangan masyarakat berilmu di negara ini dan menambah bilangan kursus-kursus yang sedia ada di pasaran.

Timbalan Menterinya, Dato' Idris Haron berkata beliau amat bersetuju dengan pandangan Ustaz Hadi dalam soalan tambahannya di sesi soal jawab di parlimen hari ini yang mahukan seramai rakyat di negara ini berilmu serta kerajaan perlu merancang untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan amalan kerja sendiri.

Malah katanya semasa menjawab soalan tersebut, dasar kerajaan ialah membina masyarakat berilmu bagi mengisi negara maju di masa hadapan.

"Indikatornya, adalah 60 peratus daripada tahap masyarakat yang kodnya 18 hingga 25 tahun mesti sekurang-kurangnya memiliki sijil, diploma dan ijazah," katanya.

Katanya, bagi mencapainya kerajaan selari dengan prosedur yang ada iaitu menambah bilangan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Beliau berkata, sekarang terdapat 20 IPTA dan 148 IPTS yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat berilmu di negara ini.

Sementara itu, dalam soalan asalnya Ustaz Hadi mengemukakan soalan sama ada kerajaan akan mengkaji semula kursus-kursus yang tidak relevan dengan pasaran tenaga kerja tempatan untuk mengatasi masalah pengangguran yang berleluasa di kalangan graduan-graduan pusat pengajian tinggi.

Menurut Idris, kajian terhadap program yang ditawarkan di IPT merupakan satu proses yang berterusan melalui semakan kurikulum, penilaian oleh pihak industri dan penilai luar.

"Kementerian sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan graduan yang dihasilkan adalah berkualiti dan berdaya saing agar mereka kompetatif dalam dunia pekerjaan," katanya. - mks.

No comments: