Monday, May 5, 2008

Kelantan tumpu industri makanan halal

KOTA BHARU, (Hrkh) - Kelantan kini sedang berusaha mengembangkan industri pengeluaran makanan halal ke peringkat global iaitu sesuai dengan dasar kerajaan negeri mengutamakan sektor pertanian.

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Haji Wan Yahya Wan Salleh berkata, sebagai anak syarikat kepada kerajaan negeri pihaknya turut mempelbagaikan projek termasuk mengembangkan industri makanan halal dan projek perladangan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk 'Business Opportunities in Kelantan' sempena program International Muslim Business Network Workshop 2006 yang diadakan di Hotel New Pacific, Sabtu lalu.

Seramai 150 peserta, di mana 60 orang daripadanya terdiri dari kalangan pengusaha luar Kelantan termasuk luar negara menghadiri program yang diadakan selama dua hari itu.

Wan Yahya berkata, industri makanan halal diutamakan bagi mengimbangi pengeluaran produk luar yang dihasilkan usahawan bukan muslim.

Malah, ia selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang berhasrat untuk lahir sebagai sebuah negeri pengeluar makanan halal terulung di rantau ini dan peringkat antarabangsa.

"Bersesuaian juga dengan Kelantan sebagai sebuah negeri pertanian, kerajaan turut menekankan sektor ini dengan mempelbagaikan produknya seperti durian, rambutan, dokong dan sebagainya.

Menurutnya juga terdapat projek lain yang turut dikendalikan anak-anak syarikat PKINK menerusi usahasama antaranya tanaman buah-buahan, industri pembuatan getah, perkayuan dan perlombongan.

"Lain-lain industri kecil yang diusahakan di kampung-kampung termasuk menghasilkan barangan kraftangan seperti gasing, wau, pembuatan tembikar dan lain-lain lagi. Produk ini menjadi tarikan utama pelancong," ujarnya.

Beliau juga berkata, terdapat dua kawasan industri utama di Kelantan iaitu kawasan perindustrian Pengkalan Chepa l dan ll, selain itu terdapat juga di Jeli, Tanah Merah, Kemubu dan Gua Musang.

Kawasan industri di Mukim Apam Pasir Mas pula melibatkan keluasan 50 ekar dan Tok Bali di Pasir Puteh (120 ekar).

Dalam sektor pertanian katanya, projek penanaman buah-buahan yang dikendalikan anak syarikat PKINK di Ladang Rakyat atau Dataran Rabuah di Jeli pada 1996 telah mengeluarkan hasilnya.

Projek pertama di Jeli melibatkan kawasan seluas 500 ekar ditanam durian dan dokong. Manakala projek kedua yang diusahakan pada tahun 2000 dimajukan di Mukim Jelai, Gua Musang melibatkan kawasan seluas 400 ekar.

No comments: